Khamis, 1 Oktober 2015

HARAPAN ISLAM

PEMUDA! PEMUDI!
Sesungguhnya engkau semua adalah tonggak Islam,
Engkau juga adalah tiang Islam.
Tanpamu Islam akan rapuh,
Tanpamu Islam akan lemah,
Tanpamu Islam akan lumpuh.

Bangkitlah wahai pemuda pemudi.
Jadilah pemuda seperti Saiyidina Ali,
Jadilah pemudi seperti Saiyiditina Fatimah.
Jadilah pemuda seperti Saiyidina Khalid,
Jadilah pemudi seperti Saiyiditina Khawlah.
Agar Islam terbela,
Agar Islam maju,
Agar Islam kuat,
Agar Islam dihormati.

Jangan engkau biarkan Islam itu dipijak,
Jangan engkau biarkan Islam itu dikeji,
Jangan engkau biarkan Islam itu dihina,
Jangan engkau biarkan Islam dipulaukan.

Wahai pemuda pemudi Islam,
Islam dahulu kala dijulang,
Diangkat,
Dihormati,
Dimuliakan,

Tetapi sekarang?
Adakah Islam dihormati?
Adakah Islam disukai?
Adakah Islam disenangi?
Adakah Islam diterima?

Jawablah wahai harapan Islam!
Jawablah wahai tonggak Islam!

Fikirkan,
Renungkan,
Muhasabahlah,
Perhatikan,
SIAPAKAH KITA DALAM ISLAM?


HATI

Hati,
Satu makhluk yang diciptakan oleh Yang Maha Berkuasa.
Jika disebut tentang kesakitan,
Tiada ubat yang mampu menyembuhkannya,
Yang mampu menghilangkannya.

Tetapi,
Allahu Rabb telah mengurniakan satu mukjizat,
Satu rahmat,
Satu anugerah,
Satu penyembuh,
Satu penawar.
Ubat yang mampu memberi cahaya penawar kepada hati.
Yang telah menjadi panduan buat manusia.
Kalamullah yang tercinta.

Duhai hati,
Jangan engkau bersedih,
Jangan engkau meraung kesakitan.
Percayalah,
Tiada seseiapa yang mampu membantumu,
Tiada sesiapa yang mahu mendengarnya.
Hanya Allahu Rabb yang menjadi tempat buatmu mengadu,
Menjadi tempat buatmu meminta.

Tiada sesiapa pun yang mampu mendengar jeritan suara hatimu.
Hanya Allahu Rabb yang setia mendengar.

Duhai hati,
Jangan palingkan keimananmu kepada Allah,
Jangan palingkan kebergantunganmu kepada Allah,
Dan jangan juga sesekali kamu angkuh dan sombong kepada Allahu Ahad!
Allahu Ahad!
Allahu Ahad!

Bergembiralah dan senyumlah biarpun palsu dan plastik.
Agar keikhlasan datang menjenguk.

Duhai hati,
Pesananku hanya satu,
Cintailah Allahu Rahman wa Rahim,
Cintailah Rasulullah Habibullah,
Cintailah Ad-Deenul Islam,
Cintailah Kitabullah Asy-Syifa’,
Cintailah segala yang Allah dan Rasul-Nya cintakan,
Termasuk hamba-hamba-Nya iaitu ibu dan ayahmu.

Dengan itu,
Pasti cahaya Hidayah-Nya datang membuka pintumu,
Datang mencerahkan isimu dengan dengan segala hikmah dan kebaikan.

Duhai hati,
Engkaulah raja,
Akal meneterimu,
Tubuh rakyatmu.
Semoga engkau menjadi raja yang bertakwa dan bertawakal.

Allahu Akbar!


Isnin, 28 Oktober 2013

'SAHABATKU' siri akhir.....

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh ya ahlul Jannah! Apa khabar semua? Alhamdulillah kerana dengan rahmat-Nya kita masih diberikan kesempatan untuk bertaubat dan memperbaiki amalan kita semua. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya saya dapat menyiapkan cerpen ini untuk siri ke-4... Harap kita semua ambil iktibar. Jika mahu komen pon boleh....

Rebah Affendy dibuatnya. Habis berdarah mulut Affendy, namun Affendy tetap tersenyum, “Ya Allah kau kuatkanlah kudratku ini. Tahan, Affendy!!! Kau kena kuatkan diri kau. Jangan sampai rahsia kau terbongkar. Sudah lama kau simpan, sesiapa pun tak boleh tahu.”
Dolah terus mengangkat penumbuknya untuk melakukan tumbukan padu sekali lagi, namun dihalang oleh Syafiq. Matanya terbeliak, kelihatan sungguh menakutkan.

“Hoi Dolah, kau dah gila ke apa? Kau sedar ke tak yang kau tumbuk sahabat karib kau ni! Kau sedar ke tak ni!” jerit Syafiq sambil menahan kedua-dua belah tangan Dolah sekuat hatinya.
Syafiq melepaskan tangan Dolah dengan kasar. Dia terus memangku Affendy yang kelihatan lemah seperti mahu pengsan. Affendy semakin kehilangan banyak darah. Mungkin ada berlaku pendarahan dalaman. Bahaya. Namun, Dolah yang sedang dikuasai oleh nafsu amarahnya hendak menumbuk Affendy sekali lagi.
Pang! Terkejut semua. Tidak disangka Zikri telah berada di situ dan menampar Dolah. Dolah terdiam dan terkaku seketika seperti patung.
“Astaghfirullah hal’azim, Dolah! Kau ni waras ke tak? Kau sedar tak kau telah menumbuk seorang sahabat kau?” suara Zikri bergema di koridor asrama itu.
Semua terdiam, namun Affendy telah memecah keheningan itu dengan berkata, “Apa yang anta cakap ni, Zikri…”
 Buk! jatuh Affendy. “Ya Allah, Affendy pengsan. Affendy! Affendy, bangun! Zikri, macam mana ni?” soal Syafiq yang sedang panik.
 Tanpa melengahkan masa, Zikri dan Syafiq terus mengangkat Affendy, “Kita bawa dia jumpa warden sekarang juga.”
Mereka pergi begitu sahaja meninggalkan Dolah sendirian. Tangan Dolah menggeletar seperti dia telah membunuh seseorang. Dolah hanya mampu melihat sahaja kelakuan dua sahabatnya itu pergi dengan membawa Affendy turun. Dolah terduduk di lantai simen itu. Matanya kini berair namun ditahannya, “Ya Allah, apa yang aku telah aku lakukan. Ampunilah daku.”

Pada waktu malamnya, Dolah dengan muka pucat menemui Zikri yang sedang duduk termenung seperti sedang memikirkan sesuatu, “Affendy macam mana? Dia kat mana sekarang?”
 “Apasal kau nak jumpa dia?” jawab Zikri dengan nada sedikit marah, namun cuba dikawalnya.
“Aku nak jumpa dengan dia. Aku nak minta maaf dengan dia,” jelas Dolah dengan penuh penyesalan.
“Baru sekarang kau nak minta maaf dengan dia? Kau tahu  tak selama ini, dia menghidap penyakit kanser paru-paru. Tahap kritikal! Doktor kata dia bila-bila masa sahaja pergi. Sekarang dia di wad. Esok baru dia keluar hospital. Aku sangat beruntung sebab aku sahabat dia. Kalau aku jadi kau, lagi bertuah sebab dia mengaku kat aku yang kau ni satu-satunya sahabat sejati dia. Dia selalu ajak kau kepada kebaikan sebab dia tak mahu kau terjebak dalam lembah kehinaan. Affendy ingin berkongsi cinta Ilahi bersama dengan kau. Dia tegur kau bukan sebab dia nak kacau kau tapi dia nak kau menjadi muslim yang bertakwa. Apa yang kau  balas kat dia? Tumbuk dia? Aku sangat sedih dengan kau,” luah Zikri.

Dolah hanya mampu mendengar dan berdiri kaku di hadapan Zikri. Dia menundukkan kepalanya dengan rasa penuh penyesalan. Dalam hatinya dia merintih, “Ya Allah, berdosanya aku. Astaghfirullahal’azim. Ya Allah, pertemukanlah daku dengan Affendy agar aku dapat memohon maaf kepadanya walaupun sebentar. Bantulah hamba-Mu ini. Ya Allah!”

Zikri menarik nafas dalam-dalam dan mempelawa Dolah untuk duduk di sebelahnya. Zikri sedar yang dia tidak seharusnya berterusan memarahi Dolah. Hakikatnya, dia berasa kasihan dengan Dolah yang sedang dirundum perasaan sangat bersalah.
 “Dolah, aku faham perasaan ko. Aku minta maaf sebab aku tengking kau tadi. Maafkan aku ye.”
“Kau tak perlu minta maaf dengan aku, sepatutnya aku yang patut minta maaf kat kau sebab aku memang layak dimarahi oleh sesiapa pun dek kebodohan aku ni,”  jawab Dolah jujur.
Zikri mengukir senyuman kerana Dolah akhirnya telah insaf.

“Alhamdulillah. Ya Allah, Engkau telah mengurniakan petunjuk-Mu kepada sahabatku ini.”
Zikri menarik nafas dan berkata, “Dolah, dalam hidup ini, Allah akan mengurniakan seorang sahabat yang membantu kita dalam menggapai cinta Ilahi, dan aku percaya yang Affendy itu orangnya. Maka kita harus menghargai sahabat kita itu. Aku berharap yang kau sedar apa yang kau telah lakukan kepada Affendy selama ini.  Affendy lakukan semua ni sebab dia kasih akan kau. Aku nak kau renungkan satu hadis ini, Diriwayatkan daripada Anas daripada Nabi Muhammad S.A.W., Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)”
Keesokannya hari Khamis pada waktu malam selepas solat Isyak, Dolah ternampak kelibat Affendy di belakang surau. Dia dengan perlahan pergi ke belakang surau. Affendy sedang duduk berteleku dan khusyuk beribadah.
Dolah menggagahkan dirinya untuk bercakap dengan Affendy, “Assalamualaikum, Affendy. Apa khabar? Err… Macam mana dengan sakit tu?”
“Waalaikumussalam. Aku sihat-sihat sahaja,” jawab Affendy sambil tersenyum. Matanya kelihatan sedikit kecil kerana bengkak. Sayu Dolah dibuatnya.

“Affendy, aku nak minta maaf sangat-sangat. Aku ni memang kawan yang sangat teruk. Aku sanggup tumbuk kau sedangkan engkau menghidapi kanser paru-paru, kan?” dengan serta merta Dolah memeluk Affendy.
Affendy mula berkata, “Dolah, aku sihat sahaja.” Dolah terus memeluk Affendy dengan seerat-eratnya bagaikan tidak mahu melepaskan sahabatnya itu. Kini, baru dia sedar akan kemanisan ukhuwah, sesuatu ikatan yang begitu mendamaikan dan diredai Allah.
Affendy masih tersenyum dengan wajah yang pucat. Sungguh sayu hati Dolah melihat wajah rakannya itu.
Pada saat itu, air mata Dolah sudah gugur di bahu Affendy setelah sekian lama dipendam. Buat pertama kalinya dia merendahkan egonya demi seorang sahabat yang dicintainya itu.
Affendy menggigil sedikit kerana tubuhnya terasa sakit.
“Dolah, jom kita solat taubat berjemaah. Kau jadi imam. Teringin aku nak menjadi makmum kau,” luah Affendy bersungguh-sungguh. Dolah menganggukkan kepalanya. Dia sedar dia harus menunaikan hasrat sahabat yang pernah dianiayainya itu.
“Assalamualaikum warahmatullah. Assalamualaikum warahmatullah,” diberinya salam di sebelah kanan dan kiri.
“Alhamdulillah.  Affendy, kau bacalah doa.
“Allah, belum habis rupanya Affendy. Lama betul dia sujud. Aku baca istighfarlah sementara menunggu dia,” bisik Dolah.
“Lama sangat Affendy sujud ni. Affendy, bangunlah, pintu pagar asrama dah nak tutup ni. Bangunlah Affendy,” tegur Dolah sambil menggoyangkan badan Affendy.

      Buk! Rebah sekujur badan Affendy di sebelah Dolah. Wajah Affendy pucat.
“Affendy! Bangun Affendy. Affendy! Ya Allah! Bantulah hambamu ini,” Dolah dengan serta merta mengangkat Affendy dan terus membawanya ke bilik warden untuk dibawa ke hospital.
Dolah sangat risau, ditahan rasa sebaknya,“Ya Allah, selamatkanlah sahabatku itu,” rintih hati Dolah. Betapa dia berharap agar Affendy masih berada di sisinya, sentiasa ikhlas dalam memberikan nasihat dan menunjukkan contoh terbaik untuknya.
Keesokannya, warden memberitahu semua penghuni sekolah itu bahawa Affendy telah meninggal dunia pada pagi Jumaat di hospital. Semua yang mendengarnya menundukkan kepala, lantas al-Fatihah disedekahkan buat roh Affendy. Dewan sunyi dan hujan turun renyai-renyai membasahi bumi, ibarat turut meratapi seorang da’ie yang telah meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Dolah menahan sebak yang mencengkam dadanya. Dia menutup mukanya.

Tiba-tiba, Zikri mencuit bahunya, “Ni ada surat untuk kau. Semalam Affendy bagi kat aku. Dia kata bagi kat kau pada waktu perhimpunan pagi Jumaat ni. Bacalah.”
“Terima kasih, Zikri,” ucap Dolah dengan sedikit tertanya-tanya.
Tatkala Dolah membukanya, tangannya mula menggeletar. Tulisan pada surat itu tulisan tangan Affendy.
Assalamualaikum dan salam ukhuwah,
Ke hadapan Dolah, sahabatku dunia dan akhirat,
Buatmu sahabat, telah pun aku maafkanmu sepanjang kita kenal. Terima kasih buat segala-galanya. Engkau telah menjadikan hidupku bermakna. Maafkan aku jika aku telah membuat dosa terhadap engkau. Maafkan aku ye. Di sini, kusisipkan nasihatku yang terakhir…
Cukuplah bagiku Engkau Ya Allah,

Tiada yang lain di hatiku selain-Mu,
Cahaya kekasih-Mu, Ya Rasulullah,
Tiada yang ku sembah melainkan-Mu Ya Allah,
Ya Allah, kurniakanlah ketenangan bagi kami di dunia dan akhirat,
Limpahkan kami Nur Hidayah-Mu,
Jauhkan kami dari azab-Mu,
Cintakan bunga akan layu,
Cintakan manusia akan mati,
Cintakan Allah kekal abadi,
Itulah cinta, cinta yang hakiki.
Cintailah Allah dan Rasulullah dengan sepenuh hati. Jaga kesihatan. Jangan merokok dan couple kerana perbuatan itu ibarat menzalimi diri sendiri. Jangan menjadi seperti aku yang dah dapat sakit baru nak insaf. Yakinlah Allah sentiasa bersamamu. Berbaktilah walaupun tidak dipuji kerana amalanmu menjadi perbualan penduduk langit. Jadilah seorang da’ie, penyambung warisan Rasulullah.
Wallahu’alam.
            Usai sahaja Dolah membaca surat itu, dia menangis, “Akan aku ingat wasiatmu sampai bila-bila pon, Affendy. Semoga rohmu dicucuri rahmat-Nya dan bersama para solehin. Aamiin. Terima kasih Ya Allah kerana Engkau telah mengurniakan aku seorang sahabat untuk membimbing aku ke jalan yang benar. Alhamdulillah.”
      Semenjak peristiwa itu, Dolah telah meninggalkan kerja haramnya iaitu merokok dan couple. Dia sekarang telah menjadi da’ie dan mencontohi sahabatnya yang dicintainya itu, Affendy.
Kita tidak perlukan MATA untuk MELIHAT,
Kita tidak perlukan SUARA untuk BERBICARA,
Kita tidak perlukan HATI untuk BERFIRASAT,
Kerana UKHUWAH yang terbina,

HANYA KERANA ALLAH.

Ahad, 2 Jun 2013

'SAHABATKU' Siri - 3


      Assalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita telah diberikan ruang dan masa untuk berubah kea rah yang lebih baik. Sekali lagi, Alhamdulillah, kerana Allah masih berikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan cerpen bersiri ini. Telah masuk siri-3 bagi cerpen ‘Cintailah Sahabat Kita’. Jadi, ambil pengajaran daripada kisah ini. Ayuh…..




      Tatkala mereka berdua mendengar salam Zikri, Dolah dengan serta-merta berganjak daripada tempat duduknya. Aisyah yang kelihatan sangat gelisah, terus bergegas ke belakang kelas. Tindakan mendadak mereka ibarat ada medan magnet yang menarik mereka untuk menjauhi satu sama lain. Zikri masuk ke kelas itu dengan bersahaja, langkahnya tenang sahaja agar tidak menakutkan mereka. Dia terus ke hadapan mereka dan tersenyum di situ bagaikan tiada apa yang berlaku. Namun di sebalik senyuman itu tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi.

      “Maaf jika saya mengejutkan anda berdua. Setahu saya, pada waktu riadah, kita semua tidak dibenarkan berada di dalam kelas walaupun dia seorang pengawas atau naqib,kan? Kenapa kamu berdua sahaja di dalam kelas ini? Kelas lain kosong je.” Zikri merenung Dolah tajam ibarat singa yang merenung mangsanya tatkala singa memburu mangsanya.

      Dolah yang kemerahan mukanya dek amarahnya terus bangun dan beredar dari kelasnya itu. Keadaannya mula tidak terkawal pada saat itu. Wajah Affendy terbayang-bayang di mindanya, idea jahat mula berlegar-legar disuntik syaitan. Amarahnya membuak-buak dalam dadanya. Dendam yang dipendam mahu sahaja dilepaskan. Arghhhh!!!!!!

      “Ni mesti kerja Affendy. Dia tu tak habis-habis nak ganggu hidup aku. Aku selalu ditangkap oleh cikgu, pengawas, dan naqib gara-gara tindakannya itu. Ni tak boleh, tu tak boleh. Siapa dia nak control hidup aku ni? Selalu berleter dan membebel tentang kesan merokok dan couple. Aku tahulah yang rokok tu bahaya, suka hati akulah nak merokok dan couple. Ada aku susahkan dia? Kubur lain-lain, so jaga diri sendirilah. Dia tu ingat dia tu siapa. Malaikat? Aku dah tak tahan. Jaga kau, Affendy!”

      Tatkala Dolah selesai solat dengan berimamkan Zikri, dia terus bangkit dan keluar daripada surau. Dia mahu bersemuka dengan Affendy. Zikri yang melihat Dolah dalam keadaan terburu-buru hanya mampu beristighfar dalam hatinya. Apa salahnya jika dia duduk sebentar melayan cinta terhadap-Nya. Sedang Dolah mencari-cari Affendy, tiba-tiba bahunya ditepuk.



      “Kau tengah cari apa? Macam tergesa-gesa sahaja. Aku tengok ko dah macam harimau nak buru mangsa sudah. Hahahaha,” tanya Syafiq.

      “Aku tengah cari Affendy. Kau ada nampak dia?” tanya pula Dolah dengan perasaan marah.

      Syafiq yang terkejut dengan reaksi rakannya itu terus bertanya,“Kau ni pehal? Nak marah-marah aku pula. Tak memasal. Ada apa masalah kau ni?”

  “Aku ok je. Affendy yang tak ok. Sekarang ni aku nak cari Affendy. Budak tu tak habis-habis nak kacau hidup aku ni. Ko ada nampak dia?” jawab Dolah dengan kemarahannya yang semakin membara.

     tanya Syafiq yang semakin kehairanan. Tiba-tiba sahaja Dolah memarahi dia sedangkan dia tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.
“Dia sedang membuat spot-check kat asrama. Apa yang dia buat sampai ko marah?”

      Dolah terus ke asrama dengan tergesa-gesa tanpa mengendahkan soalan Syafiq sambil diekori Syafiq yang merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Tatkala Dolah ternampak  kelibat Affendy sedang melakukan spot-check, tanpa sebarang amaran, dia terus menumbuk dada Affendy dengan sekuat hati dia.

“Buk!”

Sabtu, 25 Mei 2013

Pembuka Bicara


Assalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh dan salam ukhuwah fillah. Maafkan saya kerana lama tidak update blog ini. Alhamdulillah, saya akan mula update tapi pertengahan bulan 6 mungkin lambat update. Maafkan saya banyak-banyak. Sekarang ialah post tentang pendahuluan sebuah cerpen yang saya telah perbaharui. Sama dengan yang lepas tapi yang ini hasil saya dan rakan-rakan yang saya cintai. Terimalah...

~KASIH SEORANG SAHABAT~

Begitu sukar untukku menjejak cinta itu,Rupa-rupanya cinta itu tersisip di hatiku.


“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan wanita, lalu Kami jadikan kamu juga (terdiri daripada) keturunan dan kelompok yang banyak. Sesungguhnya orang yang paling mulia dalam kalangan kamu ialah orang yang paling bertakwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Mendalam Pengetahuan-Nya.”
(Surah al-Hujarat 49:13)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:
Perumpaan seorang sahabat yang baik dan buruk adalah seperti seorang pembawa minyak wangi dan peniup besi. Pembawa minyak wangi, sama ada dia memberikan minyak wanginya kepada kamu atau kamu membelinya daripada dia atau kamu terkena bauan yang wangi daripadanya. Manakala peniup besi itu, sama ada dia menyebabkan pakaianmu terbakar atau kamu mendapat bauan yang busuk daripadanya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ketika langkah diatur halus,
Kau muncul tunjukkan denai yang nyata,
Tersentuh jiwaku kau yang telus,
Menuntun diriku menuju cita.

Andai gerimis terserak pilu,
Andai mentari hangatnya berganda,
Ku tahu kau tetap di situ,
Menjadi teman kala suka dan duka.

Di lembah ilmiah kita bertemu,
Melenyap segala gulana gundah,
Sahabat setia itulah dirimu,
Moga ukhuwah terus ke Jannah.


Sabtu, 22 Disember 2012

Siri Kedua 'Cintailah Sahabat Kita'


   Assalamualaikum warohmatullah hiwabarotuh dan selamat sejahtera. Alhamdulillah, setelah lama kita hidup, Allah masih berikan kita peluang untuk bertaubat dan mengamalkan kebajikan. Ayuh kita mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya. Alhamdulillah, siri kedua ‘Cintailah Sahabat Kita’ telah pun disiapkan dengan penuh ranjau dan duri. Ini semua berkat daripada Yang Maha Esa. Jadi, baca, renungkan, ambil iktibar dan laksanakan yang terbaik. Insya-Allah!

**********

   Bingkas sahaja dia bangun daripada sujudnya, dia melihat sudah tiada orang di dalam surau itu. Dia fikir semua orang sudah berada di sekolah atau asrama. Dia terus melihat jam dinding, jarum menunjukkan sudah pukul 2.45 petang. Alhamdulillah, dia dengan bergegas ke sekolah untuk belajar sambil itu dia melalui kelas temannya iaitu Dolah di 5 Tekun. Dolah dan Syafiq sedang belajar bersama.

   Dia tersenyum dan mahu menegur, tetapi dia takut menganggu mereka. Dia meneruskan langkahnya menuju ke kelasnya, 5 Usaha. Tiada orang dalam kelasnya. Alhamdulillah, dia terus duduk di tempatnya dan membaca doa bagi memulakan pelajarannya.

   Dia terus belajar dengan penuh keasyikan. Dia merasakan yang seluruh dunia mengharapkan dia untuk cemerlang dalam SPM. Dia tekun belajar seorang diri sehingga jam berdetik pada pukul 4 petang.

*******

   Alhamdulillah, syukur hatinya. Subjek Fizik telah pun diulang kaji. Dia terus tutup bukunya dan membaca doa selesai belajar. Dia berharap apa yang dia mengulang kaji pelajaran sebentar tadi tersemat dalam hatinya dan dia ingat dalam fikirannya.

   Seusai sahaja, dia mengemas segala bahan ulang kaji pelajarannya dan tempat belajarnya. Dia turut mengemas kelasnya yang sedikit kemas. Semasa perjalanan pulangnya untuk menuju ke surau bagi menunaikan solat Asar, dia dengan sengaja melalui kelas Dolah.

   Ramai orang berada dalam kelas tersebut. Dia mengajak seorang demi seorang. Ramai yang kata “Lama lagi lah Affendy. Sabarlah. Lagi sikit ni.” 

   “Oh, lagi sikit ke? Solatlah dulu. Kejap lagi nak masuk waktu kan? Kerja tu nanti boleh siap. Kita datang surau cepat. Lepas tu dapat saf paling depan, solat berjemaah. Jemaah pertama tu. Ya Allah, banyak manfaatnya. Lepas tu, buatlah kerja, Insya-Allah boleh siap punya. Lagi satu, maut tak kenal siapa kita. Mana tahu, kalau-kalau ajal menjemput kita sebelum kita sempat menunaikan solat?” tanya Affendy sambil tersenyum. Alhamdulillah, hampir kesemua telah bergerak ke surau kerana wujud keinsafan dalam diri mereka. Cuma beberapa orang sahaja. Hardcore punya budak lah katakan.

   Akhirnya dia pergi ke arah Dolah yang sedang belajar berdua-duaan dengan Aisyah. Dia melihat Dolah sedang duduk bertentangan mata dengan buah hatinya, Aisyah. Mereka sedang ‘belajar’ dengan sungguh mesra tanpa menghiraukan kehadiran Affendy di sebelah mereka. Affendy tersenyum namun hatinya terus beristighfar dan berdoa untuk dirinya dan rakan-rakannya itu. Dia terus menepuk bahu Dolah dan menegur sambil tersenyum, “Assalamualaikum, mari Dolah, kita pergi surau sekarang. Dah nak masuk waktu Asar dah.” 

   Aisyah yang kelihatan terkejut dan gelisah kerana seorang Naqib berada di sebelahnya, dengan serta-merta menyampuk, “Wa’alaikumussalam. Betul tu Affendy. Dolah pergilah ke surau sekarang. Kau tanyalah Affendy, dia lagi pandai daripada kita.” 

   Affendy yang nampak jelas kemerahan mukanya terus berkata, “Mana ada, Aisyah. Tipu je.” Dolah dengan muka yang sedikit kecewa, menoleh ke belakang dan berkata sambil buat-buat ketawa, “Kau pergilah dulu. Nanti aku datang, Sikit lagi ni.” 

   Affendy tersenyum sambil berkata, “Jomlah.” terus mencubit pipi Dolah. “Sakitlah, aku cubit ko nanti, baru ko tahu. Nanti aku pergilah. Kau pergi dulu,” kata Dolah. “Mana Syafiq?” tanya Affendy. Dolah dengan muka marahnya, “Kawan lupakan kawan. Syafiq tu lupakan aku. Bukan reti nak tunggu aku. Dia dah pergi dengan Haziq tadi.” 


   Affendy tergelak sedikit, “Kalau gitu, aku tunggu ko, ok?” “Gelakkan aku pula. Kau pergi dulu. Kau jadi imam. Nanti aku ikut ko. Kalau ko jadi imam, aku jadi makmum.” Affendy tersenyum lebar, “Ada sahaja kau nak bagi alasan kan? Aku nak pergi surau sekarang. Fikirkanlah Dolah. Mana yang terbaik buat kau.”

   Lalu Affendy pergi dengan wajah tersenyum dan berkata, “Cepat tau, kalau nak syurga, tinggalkan dosa, kejarlah pahala.” “Ya Allah, maafkan daku kerana tidak berupaya mencegah. Semoga rakanku, Dolah mendapat hidayah-Mu,” bermonolog Affendy sambil menitiskan air matanya. Muka dia penuh dengan kecewa dan sayu. Dia hanya mahukan kasih seorang teman sebagaimana dia curahkan kepada temannya. Dia begitu mencintai sahabatnya itu, dia tidak mahu hanya dia seorang sahaja yang mengejar pahala, tetapi dia juga turut mahukan rakannya itu turut mengejar Jannah-Nya.

   Tiba-tiba dia ternampak Zikri, seorang Ketua Naqib. Dengan secepatnya dia mengesat air matanya dan cuba mengawal perasaannya. Dia tersenyum apabila memandang Zikri yang kelihatan seperti mahu mengejar sesuatu. Apa tidaknya, Zikri pasti akan meronda kawasan sekolah sebelum waktu Asar masuk. Itulah rutinnya setiap hari jika ada kelapangan. Jika dia sibuk, pasti ada Naqib yang menggantikan tempatnya. Affendy sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang ketua begini.

   Affendy terus berubah wajahnya menjadi periang dan ceria, ke arah Zikri. “Assalamualaikum, Zikri. Jom solat,” ajak Affendy. “Wa’alaikumussalam. Sebentar ye. Anta dah ronda kelas-kelas itu?” tunjuk Zikri ke arah kelas Syafiq dan Dolah serta yang sebaris dengannya.

   “Dah,” jawab Affendy dengan sedikit gelisah. Dia takut Zikri akan sergah dan terus memarahi Dolah dan Aisyah walaupun ramai lagi yang berada dalam kelas itu, lebih-lebih lagi Aisyah dan Dolah belajar seperti begitu. Dia buntu. Dalam hatinya, dia banyakkan beristighfar. Dia berdoa kepada Allah untuk memutuskan mana yang terbaik buat rakan-rakannya.

   Zikri yang faham akan situasi terus berkata, “Anta pergi ke surau dahulu. Ana ada hal di kantin sekejap, ok?” Affendy mengangguk kepala tanda setuju tanpa berkata sepatah pun. Dia terus bersalaman dengan Zikri dan terus menuju ke surau dengan kadar segera selepas mengucapkan salam kepada ketuanya.

   Zikri hanya memerhatikan Affendy beredar. Sebaik sahaja dia melihat kelibat Affendy jauh daripada pandangannya, dia terus menuju ke kelas Dolah.

   “Assalamualaikum, semua.”


********