Sabtu, 22 Disember 2012

Siri Kedua 'Cintailah Sahabat Kita'


   Assalamualaikum warohmatullah hiwabarotuh dan selamat sejahtera. Alhamdulillah, setelah lama kita hidup, Allah masih berikan kita peluang untuk bertaubat dan mengamalkan kebajikan. Ayuh kita mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya. Alhamdulillah, siri kedua ‘Cintailah Sahabat Kita’ telah pun disiapkan dengan penuh ranjau dan duri. Ini semua berkat daripada Yang Maha Esa. Jadi, baca, renungkan, ambil iktibar dan laksanakan yang terbaik. Insya-Allah!

**********

   Bingkas sahaja dia bangun daripada sujudnya, dia melihat sudah tiada orang di dalam surau itu. Dia fikir semua orang sudah berada di sekolah atau asrama. Dia terus melihat jam dinding, jarum menunjukkan sudah pukul 2.45 petang. Alhamdulillah, dia dengan bergegas ke sekolah untuk belajar sambil itu dia melalui kelas temannya iaitu Dolah di 5 Tekun. Dolah dan Syafiq sedang belajar bersama.

   Dia tersenyum dan mahu menegur, tetapi dia takut menganggu mereka. Dia meneruskan langkahnya menuju ke kelasnya, 5 Usaha. Tiada orang dalam kelasnya. Alhamdulillah, dia terus duduk di tempatnya dan membaca doa bagi memulakan pelajarannya.

   Dia terus belajar dengan penuh keasyikan. Dia merasakan yang seluruh dunia mengharapkan dia untuk cemerlang dalam SPM. Dia tekun belajar seorang diri sehingga jam berdetik pada pukul 4 petang.

*******

   Alhamdulillah, syukur hatinya. Subjek Fizik telah pun diulang kaji. Dia terus tutup bukunya dan membaca doa selesai belajar. Dia berharap apa yang dia mengulang kaji pelajaran sebentar tadi tersemat dalam hatinya dan dia ingat dalam fikirannya.

   Seusai sahaja, dia mengemas segala bahan ulang kaji pelajarannya dan tempat belajarnya. Dia turut mengemas kelasnya yang sedikit kemas. Semasa perjalanan pulangnya untuk menuju ke surau bagi menunaikan solat Asar, dia dengan sengaja melalui kelas Dolah.

   Ramai orang berada dalam kelas tersebut. Dia mengajak seorang demi seorang. Ramai yang kata “Lama lagi lah Affendy. Sabarlah. Lagi sikit ni.” 

   “Oh, lagi sikit ke? Solatlah dulu. Kejap lagi nak masuk waktu kan? Kerja tu nanti boleh siap. Kita datang surau cepat. Lepas tu dapat saf paling depan, solat berjemaah. Jemaah pertama tu. Ya Allah, banyak manfaatnya. Lepas tu, buatlah kerja, Insya-Allah boleh siap punya. Lagi satu, maut tak kenal siapa kita. Mana tahu, kalau-kalau ajal menjemput kita sebelum kita sempat menunaikan solat?” tanya Affendy sambil tersenyum. Alhamdulillah, hampir kesemua telah bergerak ke surau kerana wujud keinsafan dalam diri mereka. Cuma beberapa orang sahaja. Hardcore punya budak lah katakan.

   Akhirnya dia pergi ke arah Dolah yang sedang belajar berdua-duaan dengan Aisyah. Dia melihat Dolah sedang duduk bertentangan mata dengan buah hatinya, Aisyah. Mereka sedang ‘belajar’ dengan sungguh mesra tanpa menghiraukan kehadiran Affendy di sebelah mereka. Affendy tersenyum namun hatinya terus beristighfar dan berdoa untuk dirinya dan rakan-rakannya itu. Dia terus menepuk bahu Dolah dan menegur sambil tersenyum, “Assalamualaikum, mari Dolah, kita pergi surau sekarang. Dah nak masuk waktu Asar dah.” 

   Aisyah yang kelihatan terkejut dan gelisah kerana seorang Naqib berada di sebelahnya, dengan serta-merta menyampuk, “Wa’alaikumussalam. Betul tu Affendy. Dolah pergilah ke surau sekarang. Kau tanyalah Affendy, dia lagi pandai daripada kita.” 

   Affendy yang nampak jelas kemerahan mukanya terus berkata, “Mana ada, Aisyah. Tipu je.” Dolah dengan muka yang sedikit kecewa, menoleh ke belakang dan berkata sambil buat-buat ketawa, “Kau pergilah dulu. Nanti aku datang, Sikit lagi ni.” 

   Affendy tersenyum sambil berkata, “Jomlah.” terus mencubit pipi Dolah. “Sakitlah, aku cubit ko nanti, baru ko tahu. Nanti aku pergilah. Kau pergi dulu,” kata Dolah. “Mana Syafiq?” tanya Affendy. Dolah dengan muka marahnya, “Kawan lupakan kawan. Syafiq tu lupakan aku. Bukan reti nak tunggu aku. Dia dah pergi dengan Haziq tadi.” 


   Affendy tergelak sedikit, “Kalau gitu, aku tunggu ko, ok?” “Gelakkan aku pula. Kau pergi dulu. Kau jadi imam. Nanti aku ikut ko. Kalau ko jadi imam, aku jadi makmum.” Affendy tersenyum lebar, “Ada sahaja kau nak bagi alasan kan? Aku nak pergi surau sekarang. Fikirkanlah Dolah. Mana yang terbaik buat kau.”

   Lalu Affendy pergi dengan wajah tersenyum dan berkata, “Cepat tau, kalau nak syurga, tinggalkan dosa, kejarlah pahala.” “Ya Allah, maafkan daku kerana tidak berupaya mencegah. Semoga rakanku, Dolah mendapat hidayah-Mu,” bermonolog Affendy sambil menitiskan air matanya. Muka dia penuh dengan kecewa dan sayu. Dia hanya mahukan kasih seorang teman sebagaimana dia curahkan kepada temannya. Dia begitu mencintai sahabatnya itu, dia tidak mahu hanya dia seorang sahaja yang mengejar pahala, tetapi dia juga turut mahukan rakannya itu turut mengejar Jannah-Nya.

   Tiba-tiba dia ternampak Zikri, seorang Ketua Naqib. Dengan secepatnya dia mengesat air matanya dan cuba mengawal perasaannya. Dia tersenyum apabila memandang Zikri yang kelihatan seperti mahu mengejar sesuatu. Apa tidaknya, Zikri pasti akan meronda kawasan sekolah sebelum waktu Asar masuk. Itulah rutinnya setiap hari jika ada kelapangan. Jika dia sibuk, pasti ada Naqib yang menggantikan tempatnya. Affendy sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang ketua begini.

   Affendy terus berubah wajahnya menjadi periang dan ceria, ke arah Zikri. “Assalamualaikum, Zikri. Jom solat,” ajak Affendy. “Wa’alaikumussalam. Sebentar ye. Anta dah ronda kelas-kelas itu?” tunjuk Zikri ke arah kelas Syafiq dan Dolah serta yang sebaris dengannya.

   “Dah,” jawab Affendy dengan sedikit gelisah. Dia takut Zikri akan sergah dan terus memarahi Dolah dan Aisyah walaupun ramai lagi yang berada dalam kelas itu, lebih-lebih lagi Aisyah dan Dolah belajar seperti begitu. Dia buntu. Dalam hatinya, dia banyakkan beristighfar. Dia berdoa kepada Allah untuk memutuskan mana yang terbaik buat rakan-rakannya.

   Zikri yang faham akan situasi terus berkata, “Anta pergi ke surau dahulu. Ana ada hal di kantin sekejap, ok?” Affendy mengangguk kepala tanda setuju tanpa berkata sepatah pun. Dia terus bersalaman dengan Zikri dan terus menuju ke surau dengan kadar segera selepas mengucapkan salam kepada ketuanya.

   Zikri hanya memerhatikan Affendy beredar. Sebaik sahaja dia melihat kelibat Affendy jauh daripada pandangannya, dia terus menuju ke kelas Dolah.

   “Assalamualaikum, semua.”


********