Isnin, 28 Oktober 2013

'SAHABATKU' siri akhir.....

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh ya ahlul Jannah! Apa khabar semua? Alhamdulillah kerana dengan rahmat-Nya kita masih diberikan kesempatan untuk bertaubat dan memperbaiki amalan kita semua. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya saya dapat menyiapkan cerpen ini untuk siri ke-4... Harap kita semua ambil iktibar. Jika mahu komen pon boleh....

Rebah Affendy dibuatnya. Habis berdarah mulut Affendy, namun Affendy tetap tersenyum, “Ya Allah kau kuatkanlah kudratku ini. Tahan, Affendy!!! Kau kena kuatkan diri kau. Jangan sampai rahsia kau terbongkar. Sudah lama kau simpan, sesiapa pun tak boleh tahu.”
Dolah terus mengangkat penumbuknya untuk melakukan tumbukan padu sekali lagi, namun dihalang oleh Syafiq. Matanya terbeliak, kelihatan sungguh menakutkan.

“Hoi Dolah, kau dah gila ke apa? Kau sedar ke tak yang kau tumbuk sahabat karib kau ni! Kau sedar ke tak ni!” jerit Syafiq sambil menahan kedua-dua belah tangan Dolah sekuat hatinya.
Syafiq melepaskan tangan Dolah dengan kasar. Dia terus memangku Affendy yang kelihatan lemah seperti mahu pengsan. Affendy semakin kehilangan banyak darah. Mungkin ada berlaku pendarahan dalaman. Bahaya. Namun, Dolah yang sedang dikuasai oleh nafsu amarahnya hendak menumbuk Affendy sekali lagi.
Pang! Terkejut semua. Tidak disangka Zikri telah berada di situ dan menampar Dolah. Dolah terdiam dan terkaku seketika seperti patung.
“Astaghfirullah hal’azim, Dolah! Kau ni waras ke tak? Kau sedar tak kau telah menumbuk seorang sahabat kau?” suara Zikri bergema di koridor asrama itu.
Semua terdiam, namun Affendy telah memecah keheningan itu dengan berkata, “Apa yang anta cakap ni, Zikri…”
 Buk! jatuh Affendy. “Ya Allah, Affendy pengsan. Affendy! Affendy, bangun! Zikri, macam mana ni?” soal Syafiq yang sedang panik.
 Tanpa melengahkan masa, Zikri dan Syafiq terus mengangkat Affendy, “Kita bawa dia jumpa warden sekarang juga.”
Mereka pergi begitu sahaja meninggalkan Dolah sendirian. Tangan Dolah menggeletar seperti dia telah membunuh seseorang. Dolah hanya mampu melihat sahaja kelakuan dua sahabatnya itu pergi dengan membawa Affendy turun. Dolah terduduk di lantai simen itu. Matanya kini berair namun ditahannya, “Ya Allah, apa yang aku telah aku lakukan. Ampunilah daku.”

Pada waktu malamnya, Dolah dengan muka pucat menemui Zikri yang sedang duduk termenung seperti sedang memikirkan sesuatu, “Affendy macam mana? Dia kat mana sekarang?”
 “Apasal kau nak jumpa dia?” jawab Zikri dengan nada sedikit marah, namun cuba dikawalnya.
“Aku nak jumpa dengan dia. Aku nak minta maaf dengan dia,” jelas Dolah dengan penuh penyesalan.
“Baru sekarang kau nak minta maaf dengan dia? Kau tahu  tak selama ini, dia menghidap penyakit kanser paru-paru. Tahap kritikal! Doktor kata dia bila-bila masa sahaja pergi. Sekarang dia di wad. Esok baru dia keluar hospital. Aku sangat beruntung sebab aku sahabat dia. Kalau aku jadi kau, lagi bertuah sebab dia mengaku kat aku yang kau ni satu-satunya sahabat sejati dia. Dia selalu ajak kau kepada kebaikan sebab dia tak mahu kau terjebak dalam lembah kehinaan. Affendy ingin berkongsi cinta Ilahi bersama dengan kau. Dia tegur kau bukan sebab dia nak kacau kau tapi dia nak kau menjadi muslim yang bertakwa. Apa yang kau  balas kat dia? Tumbuk dia? Aku sangat sedih dengan kau,” luah Zikri.

Dolah hanya mampu mendengar dan berdiri kaku di hadapan Zikri. Dia menundukkan kepalanya dengan rasa penuh penyesalan. Dalam hatinya dia merintih, “Ya Allah, berdosanya aku. Astaghfirullahal’azim. Ya Allah, pertemukanlah daku dengan Affendy agar aku dapat memohon maaf kepadanya walaupun sebentar. Bantulah hamba-Mu ini. Ya Allah!”

Zikri menarik nafas dalam-dalam dan mempelawa Dolah untuk duduk di sebelahnya. Zikri sedar yang dia tidak seharusnya berterusan memarahi Dolah. Hakikatnya, dia berasa kasihan dengan Dolah yang sedang dirundum perasaan sangat bersalah.
 “Dolah, aku faham perasaan ko. Aku minta maaf sebab aku tengking kau tadi. Maafkan aku ye.”
“Kau tak perlu minta maaf dengan aku, sepatutnya aku yang patut minta maaf kat kau sebab aku memang layak dimarahi oleh sesiapa pun dek kebodohan aku ni,”  jawab Dolah jujur.
Zikri mengukir senyuman kerana Dolah akhirnya telah insaf.

“Alhamdulillah. Ya Allah, Engkau telah mengurniakan petunjuk-Mu kepada sahabatku ini.”
Zikri menarik nafas dan berkata, “Dolah, dalam hidup ini, Allah akan mengurniakan seorang sahabat yang membantu kita dalam menggapai cinta Ilahi, dan aku percaya yang Affendy itu orangnya. Maka kita harus menghargai sahabat kita itu. Aku berharap yang kau sedar apa yang kau telah lakukan kepada Affendy selama ini.  Affendy lakukan semua ni sebab dia kasih akan kau. Aku nak kau renungkan satu hadis ini, Diriwayatkan daripada Anas daripada Nabi Muhammad S.A.W., Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)
Keesokannya hari Khamis pada waktu malam selepas solat Isyak, Dolah ternampak kelibat Affendy di belakang surau. Dia dengan perlahan pergi ke belakang surau. Affendy sedang duduk berteleku dan khusyuk beribadah.
Dolah menggagahkan dirinya untuk bercakap dengan Affendy, “Assalamualaikum, Affendy. Apa khabar? Err… Macam mana dengan sakit tu?”
“Waalaikumussalam. Aku sihat-sihat sahaja,” jawab Affendy sambil tersenyum. Matanya kelihatan sedikit kecil kerana bengkak. Sayu Dolah dibuatnya.

“Affendy, aku nak minta maaf sangat-sangat. Aku ni memang kawan yang sangat teruk. Aku sanggup tumbuk kau sedangkan engkau menghidapi kanser paru-paru, kan?” dengan serta merta Dolah memeluk Affendy.
Affendy mula berkata, “Dolah, aku sihat sahaja.” Dolah terus memeluk Affendy dengan seerat-eratnya bagaikan tidak mahu melepaskan sahabatnya itu. Kini, baru dia sedar akan kemanisan ukhuwah, sesuatu ikatan yang begitu mendamaikan dan diredai Allah.
Affendy masih tersenyum dengan wajah yang pucat. Sungguh sayu hati Dolah melihat wajah rakannya itu.
Pada saat itu, air mata Dolah sudah gugur di bahu Affendy setelah sekian lama dipendam. Buat pertama kalinya dia merendahkan egonya demi seorang sahabat yang dicintainya itu.
Affendy menggigil sedikit kerana tubuhnya terasa sakit.
“Dolah, jom kita solat taubat berjemaah. Kau jadi imam. Teringin aku nak menjadi makmum kau,” luah Affendy bersungguh-sungguh. Dolah menganggukkan kepalanya. Dia sedar dia harus menunaikan hasrat sahabat yang pernah dianiayainya itu.
“Assalamualaikum warahmatullah. Assalamualaikum warahmatullah,” diberinya salam di sebelah kanan dan kiri.
“Alhamdulillah.  Affendy, kau bacalah doa.
“Allah, belum habis rupanya Affendy. Lama betul dia sujud. Aku baca istighfarlah sementara menunggu dia,” bisik Dolah.
“Lama sangat Affendy sujud ni. Affendy, bangunlah, pintu pagar asrama dah nak tutup ni. Bangunlah Affendy,” tegur Dolah sambil menggoyangkan badan Affendy.

      Buk! Rebah sekujur badan Affendy di sebelah Dolah. Wajah Affendy pucat.
“Affendy! Bangun Affendy. Affendy! Ya Allah! Bantulah hambamu ini,” Dolah dengan serta merta mengangkat Affendy dan terus membawanya ke bilik warden untuk dibawa ke hospital.
Dolah sangat risau, ditahan rasa sebaknya,“Ya Allah, selamatkanlah sahabatku itu,” rintih hati Dolah. Betapa dia berharap agar Affendy masih berada di sisinya, sentiasa ikhlas dalam memberikan nasihat dan menunjukkan contoh terbaik untuknya.
Keesokannya, warden memberitahu semua penghuni sekolah itu bahawa Affendy telah meninggal dunia pada pagi Jumaat di hospital. Semua yang mendengarnya menundukkan kepala, lantas al-Fatihah disedekahkan buat roh Affendy. Dewan sunyi dan hujan turun renyai-renyai membasahi bumi, ibarat turut meratapi seorang da’ie yang telah meninggalkan mereka buat selama-lamanya. Dolah menahan sebak yang mencengkam dadanya. Dia menutup mukanya.

Tiba-tiba, Zikri mencuit bahunya, “Ni ada surat untuk kau. Semalam Affendy bagi kat aku. Dia kata bagi kat kau pada waktu perhimpunan pagi Jumaat ni. Bacalah.”
“Terima kasih, Zikri,” ucap Dolah dengan sedikit tertanya-tanya.
Tatkala Dolah membukanya, tangannya mula menggeletar. Tulisan pada surat itu tulisan tangan Affendy.
Assalamualaikum dan salam ukhuwah,
Ke hadapan Dolah, sahabatku dunia dan akhirat,
Buatmu sahabat, telah pun aku maafkanmu sepanjang kita kenal. Terima kasih buat segala-galanya. Engkau telah menjadikan hidupku bermakna. Maafkan aku jika aku telah membuat dosa terhadap engkau. Maafkan aku ye. Di sini, kusisipkan nasihatku yang terakhir…
Cukuplah bagiku Engkau Ya Allah,

Tiada yang lain di hatiku selain-Mu,
Cahaya kekasih-Mu, Ya Rasulullah,
Tiada yang ku sembah melainkan-Mu Ya Allah,
Ya Allah, kurniakanlah ketenangan bagi kami di dunia dan akhirat,
Limpahkan kami Nur Hidayah-Mu,
Jauhkan kami dari azab-Mu,
Cintakan bunga akan layu,
Cintakan manusia akan mati,
Cintakan Allah kekal abadi,
Itulah cinta, cinta yang hakiki.
Cintailah Allah dan Rasulullah dengan sepenuh hati. Jaga kesihatan. Jangan merokok dan couple kerana perbuatan itu ibarat menzalimi diri sendiri. Jangan menjadi seperti aku yang dah dapat sakit baru nak insaf. Yakinlah Allah sentiasa bersamamu. Berbaktilah walaupun tidak dipuji kerana amalanmu menjadi perbualan penduduk langit. Jadilah seorang da’ie, penyambung warisan Rasulullah.
Wallahu’alam.
            Usai sahaja Dolah membaca surat itu, dia menangis, “Akan aku ingat wasiatmu sampai bila-bila pon, Affendy. Semoga rohmu dicucuri rahmat-Nya dan bersama para solehin. Aamiin. Terima kasih Ya Allah kerana Engkau telah mengurniakan aku seorang sahabat untuk membimbing aku ke jalan yang benar. Alhamdulillah.”
      Semenjak peristiwa itu, Dolah telah meninggalkan kerja haramnya iaitu merokok dan couple. Dia sekarang telah menjadi da’ie dan mencontohi sahabatnya yang dicintainya itu, Affendy.
Kita tidak perlukan MATA untuk MELIHAT,
Kita tidak perlukan SUARA untuk BERBICARA,
Kita tidak perlukan HATI untuk BERFIRASAT,
Kerana UKHUWAH yang terbina,

HANYA KERANA ALLAH.